Berita ini disiarkan dalam Harian Metro Sabtu, 22 Julai 2006.
Langkah mencari bakat di kalangan orang asli merupakan satu langkah yang baik kerana mereka sebagai sebahagian dari masyarakat Malaysia, tidak perlu disihkan daripada arus perdana sukan negara. Majlis Sukan Negara juga telah mengambil langkah untuk mencari bakat di kalangan orang asli melalui program Mencari Champoins.
Satu perkara yang kita perlu beri perhatian ialah dari aspek sosio budaya mereka. Persekitaran hidup mereka yang tidak sama dengan persekitaran di arena sukan perlu diambil kira. Saya pernah mendengar seorang jurulatih memberitahu saya yang dia ada seorang atlet orang asli tetapi atlet tersebtu tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang agak asing bagi mereka. Bayangkan mereka biasa tinggal di rumah yang sederhana dan mungkin serba kekurangan dan tiba-tiba dibawa untuk tinggal di hotel yang jauh keadaan di rumahnya. Sudah pasti dia akan rasa rimas dan tidak selesa.
Sebenarnya untuk mengambil atlet di kalangan orang asli perlu diberi perhatian yang lebih dari kalangan atlet golongan masyarakat lain. Kita tidak boleh samakan dengan Cathy Freemans, atlet orang asli Australia yang memenangi acara 400 meter dalam Olimpik Sydney. Adalah lebih baik untuk pelajari dari negara-negara lain bagaimana mereka tackle atlet orang asli di negara mereka.
Sememangnya anak-anak orang asli di negara kita adalah satu lagi kemungkinan untuk dicungkil bakat dan ketengahkan ke arena antarabangsa. Bawalah mereka ke dalam arus perdana.