Danone Nation Cup

Kebolehan barisan pemain cilik dari Kedah yang mewakili Malaysia dalam Danone Nation’s Cup boleh juga dibanggakan walaupun mereka hanya menduduki tangga ke 29 daripada 32 buah negara yang menyertainya. Apa yang membanggakan kita ialah dua buah negara yang dikalahkan mereka dalam perlawanan klasifikasi ialah Rep Czech dan Bulgaria. Kedua-dua negara ini adalah merupakan negawa yang pernah layak ke pusingan akhir Piala dunia. Syabas boleh diucapkan kepada barisan pemain muda ini termasuklah jurulatihnya Mohd Ridwan Abdul Rahman.

Walaupun kedua-dua negara tersebut tidak dapat disamakan dengan barisan pemain piala dunia mereka sekurang-kurangnya tercatit juga Malaysia pernah mengalahkan Rep Czech dan Bulgaria.

Seperti yang diketahui barisan muda ini terdiri daripada kanak-kanak sekolah di bawah 12 tahun dan memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk menjadi matang dan bermain dengan pemain-pemain yang lebih senior. Sekiranya kita ambil kira masa untuk melahirkan seorang juara mengambil masa antara 8 – 10 tahun, maka inilah masanya yang sesuai untuk memupuk bakat pemain-pemain muda ini untuk menjadi juara pada suatu hari nanti. Jangan mengulang kesilapan masa lalu. FAM pernah membentuk pasukan Harimau dan kemudian bubar. Kita ada pasukan Olimpik kemudian bubar. Jika asyik bubarkan pasukan muda yang belum matang dan bersedia untuk mencapai kejayaan, jangan mimpi untuk layak ke Piala Dunia tahin 2018.

Keseluruhan barisan pemain dan jurulatihnya patut dikekalkan sebagai satu pasukan dan menjalani latihan secara teratur dengan penerapan aspek-aspek sains sukan dari sekarang. Jabatan Pelajaran Kedah patut menghimpunkan mereka ini di bawah satu bumbung dan diberikan pendidikan yang terbaik sama ada dari segi latihan bolasepak mahupun akademik agar mereka nanti bukan sahaja akan menjadi pemain bolasepak yang berkemahiran tinggi tetapi juga memilikki tahap inteligen yang tinggi. “We need thinking players”. Mungkin tidak salah menjadikan kumpulan ini sebagai core group untuk generasi bolasepak masa hadapan. Kemudian mana-mana kanak-kanak yang menunjukkan tahap kemahiran yang tinggi diserapkan ke dalam pasukan ini.

Persatuan Bolasepak Kedah semasa era Datuk Ahmad Basri Akil pernah melahirkan pasukan sebegini di Kompleks Hijau Kuning dan hasilnya Kedah berjaya menjuarai Piala Malaysia selepas itu.

Semoga Jabatan Pelajaran Kedah sebagai lubuk sumber pemain dan Persatuan Bolasepak sebagai parent body bolasepak Kedah dapat bekerjasama ke arah mencemerlangkan bolasepak.