Skuad boling negara telah tidak dibenarkan menguji gelanggang boling di Pusat Boling Qatar dan berita terbaru ialah kawasan Teluk Doha yang akan menjadi gelanggang perahu layar pula menjadi sasaran. Pasukan negara telah mengambil langkah yang betul untuk menguji gelanggang lebih awal bagi membiasakan atletnya dengan persekitaran dalam apa yang disebutkan sebagai ‘acclimatisation‘. Acclimatisation adalah merupakan salah satu aspek yang ditekankan melalui sains sukan memandangkan tubuhnya dan sistemnya akan bertindak mengikut persekitaran semasa dan tindakan tubuh ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan pencapaian. Selain itu tubuh manusia juga mempunyai ‘biological clock‘ yang akan mempengaruhi perjalanan keseluruhan sistem tubuh manusia dan dalam sukan tubuh itu hendaklah diadaptasikan dengan masa semasa atlet akan bertanding.
Saya pernah ditanya oleh seorang jurulatih pasukan bolasepak sebuah negeri mengapa negerinya selalu tidak memberikan persembahan yang memberansangkan apabila bertandang dan bermain di sebuah negeri di Malaysia Timur. Sebaliknya apabila negeri tersebut datang dan bermain di sini (negeri jurulatih tersebut) pasti mereka akan dapat ditewaskan. Saya bertanya pada jurulatih tersebut di tempat lawan itu perlawanan dilangsungkan pukul berapa. Jurulatih tersebut memberitahu jam 4.45 petang. Saya tanya lagi pasukan awak berlatih pukul berapa. Dia menjawab selepas jam lapan malam. Jadi saya memberikan keputusan yang itulah sebabnya. Sistem tubuh pemainnya sudah serasi dengan persekitaran malam dan tidak dapat berfungsi dengan baik apabila bermain dalam persekitaran yang berbeza.
Berbalik kepada isu Doha 2006, skuad Sepak Takraw negara mungkin akan berhadapan dengan perkara yang sama apabila ia bercadang untuk bertolak ke Doha dua minggu lebih awal bagi tujuan ‘acclimatisation‘ dan berlatih di Kelab Sukan Al-Sadd yang akan menjadi gelanggang pertandingan Sukan Asia.
Larangan penggunaan gelanggang resmi Sukan Asia Doha itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Doha (DAGOC), Abdulla Khalid Al-Qahtani dalam laman web mereka yang meliputi kesemua gelanggang acara lain yang dipertandingkan.
Menurut laman web itu, larangan tersebut supaya mereka dapat berlaku adil kepada kesemua negara yang bertanding.