Milo Tawar Hadiah Lebih Satu Juta

Dalam bidang sukan di negara ini, Milo adalah merupakan sinonim dan sebati dengan semua aktivitinya. Tanpa Milo aktiviti sukan seolah-olah tidak lengkap. Jika tidak nampak baju Milo macam ada sesuatu yang tidak kena. Sehinggakan pembantu gelanggang pun digelar sebagai budak Milo disebabkan mereka mengenakan baju yang ditaja oleh syarikat berkenaan.

Sempena Sukan Olimpik Beijing 2008 nanti, Milo turut serta memeriahkan suasana. Baru-baru ini Milo melancar peraduan Milo ‘One Voice For Gold‘ yang menawarkan hadiah utama berjumlah RM1,888.88 atau satu kilogram jongkong emas. Peraduan itu turut menawarkan hadiah bernilai RM500 setiap minggu kepada 18 pemenang mingguan. Baca di Berita Harian.

Peraduan ini bermula daripada 1 Julai sehingga 31 Ogos dan ia bertujuan membalas kesetiaan pelanggan Milo selain menggalakkan sokongan rakyat terhadap kontinjen negara di Beijing dalam usaha memenangi emas pertama.

Borang peraduan boleh didapati di

  • mana-mana pengedar terpilih,
  • pasar raya dan pusat membeli belah seluruh negara bermula 1 Julai,

Seperti mana-mana peraduan, peserta diwajibkan membeli barangan Milo dan menyertakan bukti pembelian bersama borang penyertaan.

Kedah Tewas Kepada Kuala Lumpur

Kedah tewas mengejut kepada Kuala Lumpur di Stadium Darulaman, Alor Setar dalam kempen Piala Malaysia mereka. Kekalahan 1-0 itu memang mengejutkan memandangkan Kedah berada pada tahap prestasi yang cemerlang setakat ini selepas menjuarai Liga Super dan mengekalkan Piala FA dengan mengalahkan Selangor, The Red Giants. Kecemerlangan mereka diteruskan dengan menewaskan Pulau Pinang. Ini merupakan kekalahan pertama pasukan Kenari itu selepas beberapa ketika berada di kemuncak prestasi. Namun demikian Performance is temporary. Kekalahan adalah merupakan satu wake-up call untuk pasukan kenari.

Laporan Buletin TV3 malam ini 28 Jun 08, pula telah membuat satu rumusan yang tidak adil dengan mengaitkan kekalahan Kedah itu disebabkan kegagalan Kerajaan Negeri Kedah mengagihkan wang kemenangan Liga Super dan Piala FA. Mengapa pula dikaitkan kerajaan negeri dengan kekalahan itu sedangkan yang bertanggungjawab ialah KFA yang sepatutnya menguruskan hal berkenaan dan bukannya kerajaan. Ini bagi saya satu laporan tidak adil dan berbau politik oleh pihak Media Prima.

Laman Web FAM

Laman web ini tidak banyak berfungsi untuk menyebarkan maklumat. Saya melayari untuk melihat kedudukan pasukan-pasukan mengikut Kumpulan tetapi tidak ada. Entahlah jika anda ada menjumpainya. Format laman web ini juga tidak menunjukkan profesionalismenya. Lawatlah laman web ini dan lihat sendiri apa yang saya maksudkan. Pengendali laman web ini bagi saya adalah seperti melepaskan batuk di tangga.

Kursus Kejurulatihan – Sains Sukan

Hari ini Sabtu, 28 Jun 2008, seramai 26 orang jurulatih sukan telah mengikuti satu peperiksaan Kursus Sains Sukan Tahap II bertempat di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil. Kumpulan jurulatih ini yang majoritinya adalah jurulatih kebangsaan dipilih dari berbagai sukan dan kursus ini bertujuan untuk menguji kurikulum yang telah dikaji semula. Ini merupakan kursus Tahap II yang pertama untuk tahun ini. Bagi mendapatkan jadual kursus untuk tahun ini sila lawat laman web Institut Sukan Negara.

Majlis Sukan Negara telah melaksanakan Kursus Sains Sukan ini sejak tahun 1987 lagi dan kurikulum kali ini merupakan kajian kali ketiga. Jika jurulatih ini lulus dalam peperiksaan yang diadakan mereka layak untuk memohon untuk pendapatkan sijil penuh Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangaan (SPKK) dan seterusnya layak untuk memohon mendapatkan lesen kejurulatihan dari Institut Sukan Negara.