MSN dan Program Keagamaan

Siapa kata sukan dan agama tidak boleh digandingkan? Demikian antara isipati ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Haslin bin Hj. Baharin, Perunding Motivasi UKS Sdn. Bhd. sewaktu memberikan ceramahnya bertajuk Isra’ Mikraj Dalam Beberapa Pengajaran Ambang Ramadhan.

Majlis ceramah tersebut dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara sempena menyambut Isra’ dan Mikraj dan Doa Selamat Olimpik/Paralimpik bertempat di Surau Al-Mutaqqin, VistaMSN, Bukit Jalil di sini pada 1 Ogos 2008. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan empat orang atlet negara beragama Islam yang akan ke Olimpik Beijing 2008 beberapa hari lagi.

Program keagamaan di Majlis Sukan Negara telah bermula sejak zaman Datuk Wira Mazlan Ahmad menjadi Ketua Pengarahnya lagi dengan mengujudkan Unit Agama di MSN. Unit ini menganjurkan banyak program untuk kakitangan Majlis disamping program-program untuk memantapkan lagi rohani atlet kebangsaan dalam menghadapi cabaran sukan di berbagai peringkat.

YBhg. Ustaz Haslin telah menekankan dalam ceramahnya bahawa semua manusia termasuk atlet shahdan atlet negara sekalipun adalam manusia yang lemah dan segala kekuatan yang mereka milikki itu sebenarnya adalah izin dan restu Allah Ta’ala semata-mata. Ini kerana manusia sering bertinda berdasarkan hati yang dikawal oleh nafsu. Oleh itu beliau menegaskan bahawa agama hendaklah dijasikan sebagai sebahagian dari belakan diri sewaktu bertanding dengan tidak melupakan Allah setiap masa sama ada di waktu hendak memulakan pertandingan, semasa pertandingan mahupun di akhir pertandingan. Ramai atlet Islam tidak ingat untuk bersyukur kepada Allah selepas memperolehi kejayaan yang diberikan oleh Allah itu.

Sepanjang sesi ceramah yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz itu, para hadirin tidak kering gusi dengan jenaka-jenaka sinis berdasarkan realiti yang berlaku di kalangan masyarakat pada masa kini.

Majlis pada malam itu telah dimulakan dengan Bacaan Yassin dan doa selamat kepada atlet yang akan mengibarkan Jalur Gemilang di Beijing bermula 8 Ogos nanti. Bacaan Yassin telah di ketuai oleh YBhg. Ustaz Hj Azhar bin Tuarno Al-Hafiz, Imam Masjid Negara.

Balam risalah majlis, Unit Agama MSN yang diketuai oleh Ustaz Mohammad Hasnol binAbu Bakar, telah menulis;

Peristiwa Isra’ Mikraj adalah manifestasi hubungan manusia dengan Kuasa Maha Gagah dan Maha Tinggi. Banyak pengajaran yang boleh diambil bagaimana hebatnya manusia tetapi tanpa pertolongan dari Allah maka tidak ke mana-mana. Jesteru program dua dalam satu diadakan sempena Hari Isra’ Mikraj yang disambut dan keberangkatan Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Beijing 2008 semoga kontinjen Malaysia selamat pergi dan pulang disamping mempersiapkan warga sukan negara dengan kekuatan kerohanian menjelang Bulan Syaaban dan Ramadhan 1429 H.