Sukan Di Malaysia Tidak Menjamin Masa Depan?

Ini adalah merupakan salah satu persoalan yang bermian bukan sahaja di kepala atlet malah semua ibu bapa apabila melakar kehidupan anak-anak mereka. Budaya di negara kita masih lagi meletakkan kelayakan akademik sebagai yang paling atas sekali dalam apa sahaja aspek hidup. Seseorang yang tidak mempunyai kelayakan akademik dianggap sebagai orang yang tidak tahu walaupun dari segi pengalaman dia hampir tidak ada langsung. Ilmu yang diperolehi secara formal di bilik-bilik darjah atau dewan kuliah hanyalah sesuatu yang teori sahaja. Apa yang dipelajari secara teori tidak semestinya boleh berlaku bagaikan kesan fotostat kerana apa yang berlaku di alam nyata adalah secara adhoc, iaitu masa itu juga.

Berita Harian ada melaporkan tentang seorang atlet Olimpik negara yangberaksi di Beijing 2008 yang lalu, menangguhkan latihannya di Melbourne semata-mata untuk mencari pekerjaan bagi menjamin masa hadapannya. Ini antara alasan yang diberikan oleh pelumba tersebut, Mohd Rizal Tisin, ” Elaun latihan yang tidak mencukupi dan pengalaman melihat rakan seperjuangan terkapai-kapai tanpa pekerjaan selepas bersara ataupun menamatkan karier lebih awal kerana kecederaan, mengingatkannya supaya bersedia lebih awal. – Berita Harian.

Sewaktu saya menjadi jurulatih dahulu pun saya sering menasihatkan atlet-atlet saya bahawa bersukan tidak akan sampai ke mana. Oleh itu di usia muda janganlah hanya menumpukan perhatian terhadap peningkatan mutu sukan diri sendiri tetapi juga memikirkan tentang masa hadapan melalui kelayakan akademik. Mungkin tugas hakiki saya sebagai seorang guru yang membuatkan saya mempunyai falsafah sedemikian. Bersukan akan ada tarikh luputnya tetapi kehidupan terpaksa juga diteruskan walaupun setelah tidak berupaya bersukan lagi. Masa itulah seseorang akan mengenang masa silamnya yang terbuang di padang atau gelanggang permainan tanpa mengambil kira masa hadapan.

Antara faktor yang membawa kejatuhan atau berakhirnya karier sukan seseorang ialah kecederaan, usia dan kemunculan atlet muda dan sikap’ aku dah tua‘.

Majlis Sukan Negara adalah salah satu organisasi yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan atlet dan pengiat sukan prestasi tinggi ini. Sebagai langkah ambil berat itu, maka MSN telah mengujudkan satu Cawangan Hal Ehwal Atlet yang diketuai oleh bekas bionic women negara, Pn. Hjh. Zaiton bt Othman.