Atlet Negara Disuntik Nilai Islam

Jika Iblis pun meminta izin kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia dan Allah izinkan, mengapa tidak kita yang mengaku beriman kepadaNya tidak menirunya untuk mencapai kejayaan.
Atlet negara bukan sahaja dilatih di padang secara fizikal tetapi juga disuntik kerohanian mereka dengan nilai-nilai agama. Ini adalah satu usaha MSN untuk tidak memisahkan sukan dengan agama kerana sukan (riadhah) juga adalah salah satu tuntutan agama kerana boleh membina fizikal yang sihat untuk terus beribadah kepada Allah.  
Satu Bengkel Perdana Mind Power and Memory Skill telah dianjurkan oleh Cawangan Hal Ehwal Atlet MSN  yang diketuai oleh bekas atlet ‘bionic women’ Malaysia, Pn Hjh. Zaiton Othman dan dihadiri oleh atlet-atlet Pelapis dan Paralimpik bertempat di Dewan Komanwel MSN. Salah satu acara dalam program tersebut digabungkan dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Atlet anjuran Unit Hal Ehwal Islam MSN, dimana atlet-atlet yang hadir telah disuntik dengan semangat perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Penceramah undangan pada malam itu ialah Dr. Azhar Hj. Sarip dari Soul Power Self Mastery yang menyampaikan tentang Keajaiban Rasulullah.  
Dalam ceramah tersebut Dr. Azhar telah mengajak para atlet untuk meniru perjuangan Rasulullah yang walaupun dilahirkan dalam keluarga yang susah dan terpaksa berkerja keras untuk meneruskan hidup tetapi telah berjaya muncul sebagai pemimpin yang paling berjaya di muka bumi sehingga ke hari ini. 
Atlet juga telah diajak untuk mensyukuri segala kejayaan mereka kerana setiap kejayaan dan kegagalan semua itu datang daripada Allah S.W.T. Ingatlah Allah semasa susah dan senang. Dalam hal ini Dr Azhar juga telah memberi tips bagaimana Iblis berjaya menyesatkan manusia. Beliau mengajak para hadirin untuk meniru cara iblis untuk mencapai kejayaan. Bagaimana tanya beliau…… apabila Iblis hendak menyesatkan umat manusia, dia telah meminta izin dari Allah untuk melakukannya. Jadi jika Iblis pun meminta izin kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia dan Allah izinkan mengapa tidak kita yang beriman kepadaNya tidak mahu meminta izin dariNya untuk mencapai kejayaan dalam sukan. Beliau menyarankan agar atlet meminta izin kepada Allah untuk mencapai kejayaan setiap kali hendak melaksanakan aktiviti sukan dalam pertandingan. Insyaallah Tuhan akan makbulkan.