Sukan Sekolah Dulu- Sukan Sekolah Sekarang

Pagi ini pergi sekejap ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Bukan untuk tengok perlawanan bolasepak tetapi kerana ada satu sukan sekolah. Sukan sekolah tempat anak aku belajar. Waa….sukan sekolah pun buat di Stadium Nasional. Dalam hati betapa bertuah dan beruntungnya kanak-kanak zaman sekarang. Kalau di zaman aku bersekolah dahulu, dapat tengok stadium pun dah rasa satu kebangaan. Nak rasa padang atau trek jauh sekalilah.
Pernah pada satu masa aku masih menjadi jurulatih olahraga MSSK dalam membuat persiapan untuk ke Kejohanan Olahraga MSSM. Latihan diadakan di Stadium Darulaman dan pada masa itu berkesempatan juga untuk tengok pasukan Kedah menjalani latihan di bawah Robert Alberts. Tapi nak cerita bukan pasal peluang tengok pasukan Kedah berlatih. Nak cerita pasal pengalaman penggunaan stadium tu.

Pada masa tu ada seorang penyelia stadium kot, asalnya kerja kat Pahang tukar ke Std. Darulaman. Masa atlet buat latihan di atas rumput, tiba-tiba dia jerit dari tangga stadium, jangan pijak rumput pakai spike, nanti rosak padang. Uih, pakai spike lari atas rumput boleh rosak padang? Tapi kalau pakai boot bola main di atas padang tentu lebih teruk kan? Apalah punya penyelia dia tu. Itulah kalau dah orang jenis nak tunjuk ek kat cikgu-cikgu sekolah macam kami.

Dah beberapa tahun tengok pelajar SK Bukit Jalil tu, bersukan kat atas trek sintetik di Trek latihan Majlis Sukan Negara. Hari ini pula bertanding di trek Stadium Nasional. Bertuah bukan? Malah bukan pelajar sekolah itu sahaja yang berpeluang menggunakan trek sintetik di MSN atau Stadium Nasional. Beberapa sekolah lain pun mengambil kesempatan menganjurkan sukan di kedua-dua tempat berkenaan.

Itu setakat sukan sekolah, tak cerita lagi pasal MSSM. Sepanjang aku berkhidmat sebagai jurulatih MSS Kedah tidak pernah langsung merasai tinggal di tempat yang selesa. Semuanya di asrama sekolah. Tapi lagi teruk di tahun 70an dulu masa bertugas di Sabah, susun meja di dalam kelas buatkan katil.Tilam dan bantal jangan mimpilah. So, tidur berbantalkan beg pakaian. Begitulah keadaannya di tahun 70an dan 80an bagi komuniti pengiat sukan di peringkat sekolah. Untung kan budak-budak sekarang? Zaman dah berubah.