Sukan Sekolah Dulu- Sukan Sekolah Sekarang

Pagi ini pergi sekejap ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Bukan untuk tengok perlawanan bolasepak tetapi kerana ada satu sukan sekolah. Sukan sekolah tempat anak aku belajar. Waa….sukan sekolah pun buat di Stadium Nasional. Dalam hati betapa bertuah dan beruntungnya kanak-kanak zaman sekarang. Kalau di zaman aku bersekolah dahulu, dapat tengok stadium pun dah rasa satu kebangaan. Nak rasa padang atau trek jauh sekalilah.
Pernah pada satu masa aku masih menjadi jurulatih olahraga MSSK dalam membuat persiapan untuk ke Kejohanan Olahraga MSSM. Latihan diadakan di Stadium Darulaman dan pada masa itu berkesempatan juga untuk tengok pasukan Kedah menjalani latihan di bawah Robert Alberts. Tapi nak cerita bukan pasal peluang tengok pasukan Kedah berlatih. Nak cerita pasal pengalaman penggunaan stadium tu.

Pada masa tu ada seorang penyelia stadium kot, asalnya kerja kat Pahang tukar ke Std. Darulaman. Masa atlet buat latihan di atas rumput, tiba-tiba dia jerit dari tangga stadium, jangan pijak rumput pakai spike, nanti rosak padang. Uih, pakai spike lari atas rumput boleh rosak padang? Tapi kalau pakai boot bola main di atas padang tentu lebih teruk kan? Apalah punya penyelia dia tu. Itulah kalau dah orang jenis nak tunjuk ek kat cikgu-cikgu sekolah macam kami.

Dah beberapa tahun tengok pelajar SK Bukit Jalil tu, bersukan kat atas trek sintetik di Trek latihan Majlis Sukan Negara. Hari ini pula bertanding di trek Stadium Nasional. Bertuah bukan? Malah bukan pelajar sekolah itu sahaja yang berpeluang menggunakan trek sintetik di MSN atau Stadium Nasional. Beberapa sekolah lain pun mengambil kesempatan menganjurkan sukan di kedua-dua tempat berkenaan.

Itu setakat sukan sekolah, tak cerita lagi pasal MSSM. Sepanjang aku berkhidmat sebagai jurulatih MSS Kedah tidak pernah langsung merasai tinggal di tempat yang selesa. Semuanya di asrama sekolah. Tapi lagi teruk di tahun 70an dulu masa bertugas di Sabah, susun meja di dalam kelas buatkan katil.Tilam dan bantal jangan mimpilah. So, tidur berbantalkan beg pakaian. Begitulah keadaannya di tahun 70an dan 80an bagi komuniti pengiat sukan di peringkat sekolah. Untung kan budak-budak sekarang? Zaman dah berubah.  

Latihan Sukarelawan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 Diresmikan

Hujung minggu lepas aku terlibat dengan program melatih sukarelawan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 bertempat di Kompleks Rakan Muda Lendu, Alor Gajah, Melaka. Ia merupakan kumpulan sukarelawan yang pertama menjalani latihan. 
Seramai lebih kurang 450 orang hadir yang terdiri dari berbilang kaum dan peringkat umur. Sebenarnya inilah kali pertama aku terlibat untuk menjadi salah seorang dari fasilitator yang melatih sukarelawan. Dulu sewaktu Sukan Komanwel 98, aku juga ada terlibat dengan sukarelawan tetapi lebih kepada menyelaras kebajikan mereka sahaja. 
Latihan sehari suntuk dan sukarelawan telah mula mendaftarkan diri mulai jam 6.30 pagi lagi dan latihan tamat lebih kurang jam 6.00 petang. 
Prorgam tersebut telah diresmikan oleh ADUN Pantai Kundor, Datuk Hj. Abd Rahaman bin Hj. Abd. Karim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Sukan Malaysia XIII.
  

Negeri Juara Piala FA

Akhirnya Piala FA menjelajah je Negeri Sembilan selapas satu perlawanan yang menarik di Stadium Nasional Bukit Jalil. Apa yang menarik ialah semua pemain yang beraksi adalah anak tempatan Malaysia. 
Walaupun pada pandangan aku permainan sebahagiannya dikuasai oleh Kedah khususnya pada masa tambahan tetapi ketumpulan penjaring gol dapat dirasai berbanding beberapa percubaan mendebarkan oleh pasukan Negeri Sembilan. 
Walaupun tewas, sebagai penyokong tidaklah rasa begitu keciwa kerana kesemua pemain telah bermain bersungguh-sungguh. Hanya nasib tidak menyebelahi mereka. Puas juga tengok bagaimana pemain dapat membuat hantaran-hantaran yang sebahagiannya tepat dan kesungguhan merampas bola dari kaki lawan. Memanglah aku tidak dapat nak bandingkan dengan pemain-pemain Liga luar negara sebab tak pernah pun tengok perlawanan-perlawanan sama ada EPL, Serie A dan sebagainya. Malah Manchester United, Liverpool, Chelsea atau Arsenal pun setakat tahu begitu sahaja. Tak ada pun mana-mana pasukan bolasepak luar negara yang menjadi sanjungan aku. 
Walaupun Loose Cannon dalam blognya memberikan rating yang rendah kepada pemain Kedah, aku tetap berpuas hati dengan persembahan mereka pada malam itu. Kepada pemain Hijau Kuning, syabas kerana mampu bertahan hingga masa tambahan dan keputusan terpaksa dibuat melalui sepakan penalti hingga ke sudden death.

Piala FA Siapa Punya

Siapa akan bawa balik piala ini? Ke Kedah atau Negeri Sembilan. Kemuncaknya malam ini.
Suasana di perkarangan Stadium Nasional petang tadi penuh excitement. Pada keseluruhannya nampaknya penyokong hijau kuning mendominasi kawasan stadium tetapi itu belum cukup untuk menentukan keputusan malam ini. Segalanya bergantung kepada kesebelasan pemain yang bertarung di padang nanti.
Piala yang menjadi rebutan ini telah dipamerkan di gerai TM selaku penaja utama, di perkarangan Stadium Nasional petang tadi. 
Ni pula sejarah piala yang menjadi rebutan pasukan bolasepak tempatan… 
Negeri-negeri yang telah memenangi Piala ini sebelum ini

Isu Keselamatan Dalam Sukan

Wanita maut hijab lilit gandar go-kart

Berita ini disiarkan di dalam Metro. Saya juga telah membacanya di TheStar.
Jangan persalahkan agama jika kemalangan itu berlaku. Salahkan pengguna itu sendiri.
Untuk bersukan ada etika pakaiannya, jadi patuhi etika berpakaian untuk sukan berkenaan.
Baru-baru ini juga kita dikejutkan dengan kematian seorang pelatih lumba basikal TLDM setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan rakan sepasukan semasa latihan. Walaupun pelumba tersebut tidak berada di dalam senarai pelatih di bawah program Majlis Sukan Negara, tetapi sebagai atlet yang ada kemungkinan dapat menjadi atlet kebangsaan satu hari nanti, MSN memandang berat dan mengambil inisiatif untuk tidak mengabaikan kebajikan Allahyarhamah.
Malang sememangnya tidak berbau tetapi sebagai manusia kita perlu berusaha untuk mengelakkannya. Setiap orang yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan sama ada dari segi pakaian, peralatan, persekitaran mahupun aktiviti yang dijalankan. Atas sebab itulah pendidikan Sains Sukan adalah perlu diketahui oleh semua orang dan bukan hanya tertakluk kepada jurulatih sahaja. Orang awam, seperti penonton juga bertanggungjawab dalam hal-hal keselamatan semasa bersukan. Bukan kita tidak pernah dengar ada orang awam cedera atau maut semasa menyaksikan acara-acara sukan.
Apabila melibatkan diri dalam sukan, perkara pertama yang patut dititikberatkan ialah keselamatan.
Dalam Kursus Sains Sukan kepada jurulatih-jurulatih sukan, setiap kali apabila membincangkan tajuk Kompetensi Kejurulatihan, ada dua topik yang menekankan tentang keselamatan. Pertama ialah apabila jurulatih hendak merancang program latihan atau periodisasi. Dalam perancangannya, jurulatih itu hendaklah mengambil kira keselamatan terlebih dahulu. Perkara ini juga dibincangkan apabila menyentuh mengenai merancang sesi latihan. Perkara utama yang diletakkan di atas sekali ialah keselamatan. Oleh itu keselamatan bukan sesuatu yang dipandang remeh apabila melibatkan diri dengan sukan.

Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 – Latihan Sukarelawan Bermula

11 April 2010 akan bermula latihan untuk para sukarelawan yang akan bertugas di Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 yang akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun 2010 nanti. 

Kursus pertama akan diadakan pada 11 April 2010 bertempat di Kompleks Rakan Muda, Lendu, Alor Gajah, Melaka dan majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh YB. Datuk Hj. Ab. Rahman bin Hj. Ab. Karim, ADUN Kawasan Pantai Kundor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010. Kumpulan pertama sukarelawan ini terdiri daripada 500 orang sukarelawan yang akan bertugas di venue sekitar Alor Gajah. Latihan diadakan dengan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara Malaysia.  
ATURCARA MAJLIS PERASMIAN
KURSUS SUKARELAWAN SUKAN MALAYSIA XII MELAKA 2010
Tarikh  :           11 April 2010 (Ahad)
Tempat:           Kompleks Rakan Muda Lendu
                        Alor Gajah, Melaka
Masa   :           8.30 pagi
6.30 -7.30 pagi           :           Pendaftaran Peserta Sukarelawan / Sarapan
7.30 -8.15 pagi           :           Taklimat Kursus / Sarapan Pagi
8.15- 8.30 pagi           :           Peserta Berkumpul
                     8.30 pagi            :           Ketibaan YB Datuk Hj. Ab. Rahaman B. Hj. Ab. Karim
                                                            ADUN Kawasan Pantai Kundor
                                                            Merangkap Pengerusi J/Kuasa Kecil
Tenaga Sukarelawan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010       
                                                :           Bacaan Doa
                                                :           Ucapan Aluan oleh:
                                                            Encik Roslan Bin Haji Hussin
                                                            Pengarah Jabatan Belia & Sukan Negeri Melaka
                                                :           Ucapan  Perasmian oleh :
                                                            YB Datuk Hj. Ab. Rahaman bin Hj. Ab. Karim
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tenaga Sukarelawan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010
:           Penyampaian Cenderamata
                                                :           Sesi bergambar
                                                :           Jamuan VIP
                                                :           Kursus Bermula

Latihan seterusnya akan diadakan pada 17,18 dan 25 April 2010 dan semuanya bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh bagi sukarelawan di venue Melaka Tengah dan Jasin.