Seminar Gimnastik 2010 – ‘Past, Present and Future’

Bertempat di Auditorium I Majlis Sukan Negara, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menganjurkan satu seminar untuk terus membangunkan sukan Gimnastik yang semkin menampakkan kecemerlangannya. Paling akhir ialah kejayaan Elaine Koon, yang merangkul satu emas, satu perak dan tiga gangsa di Sukan Komanwel di New Delhi yang baharu sahaja tamat. 
Seminar anjuran bersama Majlis Sukan Negara itu di resmikan oleh YBhg. Dato’ Zolkples Embong, Ketua Pengarah MSN dan dihadiri oleh wakil dari negeri, jurulatih, pengiat sukan gimnastik dan mereka yang berpengetahuan dalam sukan tersebut. Ianya berlangsung pada 23 dan 24 Oktober 2010. 
Pembentangan Pertama Seminar tersebut telah disampaikan oleh Presiden MGF, YBhg. Prof. Dato’ Dr Zakaria yang telah mengariskan visi dan harapan persatuan pimpinan beliau untuk meletakkan negara sebagai kumpulan sepuluh yang terbaik di dunia. Menurut beliau, jika misi itu berjaya, maka baharulah boleh dikatakan Malaysia sudah menyertai sukan gimnastik di peringkat antarbangsa. 
Sebelum itu Ketua Pengarah MSN, dalam ucaptamanya telah mengingatkan para peserta bahawa kita mempunyai ruang lopong yang agak besar antara juara semasa dengan atlet pelapis. Sebagai contoh, beliau menyebut sekadar beberapa nama seperti Datuk Nicol, Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli. Apa akan jadi jika mereka ini tiba-tiba menarik diri dari pertandingan kompetitif. Kita tidak ada penganti yang setanding. Dalam sukan gimnastik pula beliau memberikan Ng Shu Wai sebagai contoh. Ng yang telah memenangi pingat di peringkat antarbangsa telah menarik diri dari aktif dan selepas itu belum ada lagi pengganti yang hampir setanding dengannya apa lagi menandingi kecemerlangannya. 
MGF, dalam Seminar ini telah menjemput seorang pakar Gimnastik yang juga Konsultan FIG, En.Gao Jian, telah berkongsi pengalaman beliau yang membantu membawa China untuk menjadi sebuah kuasa besar dalam gimnastik dengan kejayaan besar memenangi 9 pingat Emas di Olimpik Beijing 2008. Perlu dinyatakan bahawa gimnas kita Ng Shu Wai adalah merupakan satu-satunya gimnas luar negara yang berpeluang menjalani latihan dengan gimnas China melalui usaha beliau. Dalam pembentangannya yang disampaikan dengan bantuan penterjemah telah memberikan beberapa garis panduan berdasarkan pengalaman beliau dengan gimnas China, jika Malaysia juga ingin cemerleng.
 
Selepas pembentangan kertas pada sebelah pula beberapa orang jurulatih luar negara yang sedang berkhidmat di Malaysia telah juga diberi peluang untuk memberi cadangan dan saranan berasaskan pemerhatian dan pandangan mereka sepanjang berada dan berkhidmat di sini. Pandangan-pandangan dan cadangan mereka akan dibengkelkan melalui perbincangan kumpulan yang akan diadakan pada hari kedua Seminar. 
Pada hari kedua peserta seminar akan membincangkan halatuju MGF hasil daripada cadangan-cadangan dan saranan semua pembentang. Blog ini akan buat kemaskini terhadap posting ini.