Info ini dipetik dari Facebook Johor Southern Tigers
1000 MARSHAL AKAN BERTUGAS DALAM SETIAP PERLAWANAN DI STADIUM LARKIN.
Satu lagi lembaran sejarah bakal tercipta.
Persatuan Bolasepak Negeri Johor akan menubuhkan satu syarikat keselamatan yang akan bertanggungjawab atas keselamatan di dalam dan luar Stadium Larkin sewaktu perlawanan diadakan, mulai musim yang akan datang. Langkah ini diambil kerana DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim amat menitikberatkan aspek keselamatan orang ramai. Seramai 1000 orang marshal akan ditempatkan di sekitar stadium pada waktu perlawanan.
Untuk memastikan setiap marshal merupakan anggota yang berkualiti, mereka dikehendaki mengikuti kursus latihan dan ujian oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan Askar Timbalan Setia Negeri.
Peranan marshal yang bertugas adalah untuk memastikan keselamatan penyokong tuan rumah dan pelawat. Diharapkan dengan adanya langkah sebegini, akan menjadikan setiap perlawanan di Stadium Larkin selamat dan menghiburkan bagi semua penyokong bolasepak.

Ia merupakan satu langkah yang terbaik bagi sebuah Persatuan Bolasepak untuk membantu pihak keselamatan mengawal ketenteraman setiap kali perlawanan berlangsung. Ia sewajarnya diikuti oleh semua Persatuan negeri, malah FAM sekalipun. Apa yang baik kita patut contohi.