Ikan temenung atau ikan kembung adalah merupakan antara ikan yang tidak pernah kita rasa jemu atau muak untuk makan walaupun setiap hari.
Kebiasaannya ikan ini digoreng begitu sahaja, digoreng tepung, masak asam pedas atau masak kari.
Di sebelah Utara Semenanjung Malaysia telah mula berkembang trend peniaga gerai-gerai makanan menyediakan Gulai Ikan Temenung ini kepada pelanggan, khususnya sebagai menu makan untuk tengahari. Gulai Ikan Temenung ini dimasak dan dihidangkan panas-panas yang menjadikan rasanya lebih sedap. Apa lagi dimakan bersama nasi yang masih lagi berasap.
Memandangkan makanan bermasak bangkit rasa sedapnya ketika masih panas, maka Gulai Ikan Temenung ini elok dimakan di gerai itu semasa baru diangkat dari kuali. Jika dibawa balik dan ia sudah menjadi sejuk keenakannya sudah hilang walaupun dipanaskan semula.
Boleh dikatakan di kawasan Utara, peniaga gerai makanan ini mendapat bekalan ikan yang masih segar di pelantar ikan kuala-kuala sungai, maka ikan yang dihidangkan juga adalah ikan segar dan rasa isinya manis berbanding ikan yang sudah beberapa lama disejukbekukan dalam ais.
Sekiranya anda melancung ke Utara Semenanjung, jangan lepaskan peluang untuk menikmati Gulai Ikan Temenung dan seelok-eloknya melawatkan kawasan berhampiran kuala sungai seperti Kuala Kedah kerana di sana ada beberapa gerai yang semata-mata menghidangkan Gulai Ikan Temenung sebagai menu utamanya.
Jangan lupa juga tambahkan side dishnya seperti ulam-ulaman kampung dengan sambal belacan.
Kebanyakan gerai yang menghidangkan Gulai Ikan Temenung ini membuka perniagaan sebelah pagi hingga lepas waktu makan tengahari sahaja.
Populariti Gulai Ikan Temenung yang semakin mendapat tempat di kalangan pelanggan, boleh menjadikan menu masakan ini sebagai satu identiti atau hidangan signature untuk negeri Kedah seperti juga kita kaitkan dengan Mee Udang di Kuala Sepetang atau Tomyam untuk masakan Thai.
Jika anda hendak masak sendiri maka bolehlah rujuk ke blog Nurnatrah Amani Khairudin untuk mendapatkan resepinya.