Doha 2006 dan Adaptasi

Apakah sebenarnya yang ada di dalam fikiran DAGOC penganjur Sukan Asia 2006 Doha apabila menutup satu persatu gelanggang yang akan jadi venue pertandingan. Adakah ini satu taktik untuk memberi tekanan secara psikologikal kepada negara-negara yang akan mengambil bahagian dalam temasya terbesar bagi rantau Asia itu atau ada motif lain di sebalik menjadikannya kawasan larangan.

Skuad boling negara telah tidak dibenarkan menguji gelanggang boling di Pusat Boling Qatar dan berita terbaru ialah kawasan Teluk Doha yang akan menjadi gelanggang perahu layar pula menjadi sasaran. Pasukan negara telah mengambil langkah yang betul untuk menguji gelanggang lebih awal bagi membiasakan atletnya dengan persekitaran dalam apa yang disebutkan sebagai ‘acclimatisation. Acclimatisation adalah merupakan salah satu aspek yang ditekankan melalui sains sukan memandangkan tubuhnya dan sistemnya akan bertindak mengikut persekitaran semasa dan tindakan tubuh ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan pencapaian. Selain itu tubuh manusia juga mempunyai biological clock yang akan mempengaruhi perjalanan keseluruhan sistem tubuh manusia dan dalam sukan tubuh itu hendaklah diadaptasikan dengan masa semasa atlet akan bertanding.

Saya pernah ditanya oleh seorang jurulatih pasukan bolasepak sebuah negeri mengapa negerinya selalu tidak memberikan persembahan yang memberansangkan apabila bertandang dan bermain di sebuah negeri di Malaysia Timur. Sebaliknya apabila negeri tersebut datang dan bermain di sini (negeri jurulatih tersebut) pasti mereka akan dapat ditewaskan. Saya bertanya pada jurulatih tersebut di tempat lawan itu perlawanan dilangsungkan pukul berapa. Jurulatih tersebut memberitahu jam 4.45 petang. Saya tanya lagi pasukan awak berlatih pukul berapa. Dia menjawab selepas jam lapan malam. Jadi saya memberikan keputusan yang itulah sebabnya. Sistem tubuh pemainnya sudah serasi dengan persekitaran malam dan tidak dapat berfungsi dengan baik apabila bermain dalam persekitaran yang berbeza.

Berbalik kepada isu Doha 2006, skuad Sepak Takraw negara mungkin akan berhadapan dengan perkara yang sama apabila ia bercadang untuk bertolak ke Doha dua minggu lebih awal bagi tujuan ‘acclimatisation‘ dan berlatih di Kelab Sukan Al-Sadd yang akan menjadi gelanggang pertandingan Sukan Asia.

Larangan penggunaan gelanggang resmi Sukan Asia Doha itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Doha (DAGOC), Abdulla Khalid Al-Qahtani dalam laman web mereka yang meliputi kesemua gelanggang acara lain yang dipertandingkan.

Menurut laman web itu, larangan tersebut supaya mereka dapat berlaku adil kepada kesemua negara yang bertanding.

Nasmizan Gagal ke Doha

Masmizan gagal melayakkan diri ke Doha 2006. Mungkin beliau masih belum bersedia kerana baharu sahaja pulih dari pembedahan akibat kecederaan. Semoga tidak ada sesiapa yang akan mengutuk dan memperlekehkan Nasmizan kerana kegagalan itu. Apa yang harus kita ingat ialah kita perlukan khidmat Nasmizan untuk jangka panjang bukan untuk Doha 2006 sahaja.

Selepas ini beliau masih ada masa untuk bersedia bagi menghadapi Sukan Sea 2007 di Thailand dan kalau ada rezeki di Sukan Olimpik Beijing 2008.